Pinggir
Sungai di Oxford ini cukup damai. Burung-burung terbang berkicauan. Sinar
mentari lembut membasahi alam di pagi ini. Aku potretkan semua layar
pemandangan ini di atas sebuah kanvas suci. Ya, melukis adalah kegemaranku
sejak berada di negara orang ini.
‘Subhanallah, belum pernah ada lagi anak Melayu yang melukis
secantik kau di London ini.’ Dari belakang sahabatku Nasihah datang menyapa.
‘Mana ada, aku biasa saja.’ Aku sambut kedatangan Nasihah
dengan secalit senyuman dan huluran salam mesra. Lantas, menjemputnya duduk di
sebelahku.
‘Anisah, kenapa kau datang London semata-mata untuk belajar
Bahasa Melayu?’ Nasihah memecah kesunyian.
‘Nas, kau tahu, aku sukakan dunia kesusateraan. Kerana itu
juga aku tinggalkan Malaysia untuk belajar Bahasa Melayu di sini.’
‘Mengapa tidak di Malaysia saja?’ Aku senyum.
‘Kerana disini sumber sejarahnya terpelihara. Zaman ketika
potugis menjajah Tanah Melayu dahulu, segala kitab kita dibawa tentera portugis
ke negara mereka. Aku boleh lihat secara jelas. Di sini juga, mereka yang
menuturkan Bahasa Melayu amat menghargai dan menyantuni bahasa kita, Nas.’
Panjang lebar peneranganku.
‘Haha. Aku tahu itu juga. Kau bagiku adalah gadis Melayu
terakhir walaupun kau berdarah kacukan Inggeris. Baju kurung pun kau kekalkan
ketika di London ini. Cuma…’
‘Cuma aku tak bertudung?’ Aku diam seketika. Beberapa kali
Nasihah menarik nafas. Sesekali dia mengeluh.
‘Anisah, kau istimewa. Warisan Melayu kau kekalkan. Cuma
syariat Islam perlu bersatu dengannya.’ Tangan Nasihah diletakkan di atas
bahuku. Sebenarnya seminggu sebelum aku pulang ke London, abah sudah meminta
aku untuk bertudung. Aku tidak sesekali melawan. Namun aku idak memberikan
jawapan.
‘Nas, aku nak pakai tudung. Tapi London ini cukup untuk
runtuhkan iman aku.’ Aku tunduk. Malu sebenarnya menyatakan hasrat. Nasihah
menggenggam erat tanganku.
‘Bukankah aku ada di sampingmu?’ Senyum.
_________________________________________________________________________________
Minggu ini aku dan Nasihah membeli-belah bersama. Nasihah
bakal dirikan sebuah masjid bersama seorang pensyarah fizik di universiti yang
sama. Aku tahu sememangnya Nasihah meminati subjek fizik, tetapi tak aku sangka
rupanya pensyarah itu juga diminatinya. Nasihah dan aku berhenti di sebuah
kedai pakaian arab.
‘Mengapa kau pilih yang singkat? Tudungmu labuh.’ Aku hairan
kerana Nasihah mengangkat tudung yang agak singkat.
‘Bukan aku, kau yang kena pakai ini. Kau cuba dulu sebab
ayah aku panggil di luar.’ Aku jadi kaget. Belum pernah aku pakai lagi tudung
sebelum ini. Aku cuba tudung yang dipilih Nasihah. Ternyata, rupaku indah
sekali. Aku suka imejku yang bertudung ini. Seorang lelaki berjubah putih di
belakangku melihat aku. Agak lama kami bertentang mata.
‘Astaghfirullah.’ Perlahan istighfar yang dilafazkannya. Aku
menjadi malu lantas aku tunduk. Dari sosok tubuh dan matanya yang berwarna
coklat, aku tahu di orang Malaysia. Berlainan dengan aku yang berdarah kacukan
Inggeris ini, tidak sama seperti perempuan Melayu yang lain. Mataku biru.
‘Puan boleh cuba tudung di bilik sana. Cerminnya lebih
besar.’ Bicaranya lembut diselit senyuman.
‘Tak mengapa. Saya sudah cuba di sini dan nampaknya sesuai
dengan saya. Saya mahu 3 helai tudung yang sama dengan ini. Saya bukan
puan,belum bersarung cincin lagi’ Lelaki itu mengangguk dengan tersenyum manis.
Baru aku tahu namanya Muslih berdasarkan tanda nama dari bajunya. Aku membayar
harga tudung.
‘Semoga Allah bantu cik…’ Muslih berhenti berbicara sambil
menunjukkan padaku.
‘Anisah’ Aku menyambung .
‘Semoga Allah bantu cik Anisah untuk berhijrah.’ Muslih
menguntumkan senyuman buatku.
‘Anisah!! Kita perlu pulang segera. Cepat! Tinggalkan dahulu
barang-barang itu.’ Nasihah tiba-tiba muncul dari pintu utama kedai.
‘Cik Anisah tinggalkan nombor telefon. Nanti saya hantarkan
ke rumah cik Anisah.’
‘Baik, terima kasih Muslih.’ Dahi Muslih berkerut. Mungkin
terkejut bahawa aku mengetahui namanya.
‘Tanda namamu, Muslih. Assalamualaikum.’ Hampir tergelak aku
dibuatnya.
_________________________________________________________________________________
Bibit-bibit
perkenalanku bersama Muslih semakin berbunga sejak dia hantarkan tudung yang
aku beli tempoh hari. Dia serta Nasihah yang selalu mendampingiku dalam
mengajar erti Islam. Aku mula mengenal Islam semula. Aku Muslim, tapi aku tidak
faqih dalam beragama. Terkadang, terbit perasaan cinta dari lubuk hati yang
dalam. Namun, aku tepis jua segalanya. Layakkah aku mencintai orang-orang soleh
seperti Muslih.
Anisah,
Apakah
kau masih lagi sudi untuk mengingati aku walaupun pertemuan kita sudah tidak
lagi bertamu sejak 2 purnama ini? Maafkan aku, sejak tugasku sebagai presiden
persatuan banyak mendesakku. Juga tanggungjawab yang aku galas ini banyak
mengehadkan waktuku. Namun, jangan kau risau. Aku pasti akan kembali ke sisimu
jua. Di negara barat ini, aku mahu pancarkan cahaya iman, agar Islam menjadi
suatu kemenangan yang tertinggi. Jadilah wanita syurga, Anisah. Tetaplah dengan
tuntutan agamamu.
Muslih
Surat terakhir
yang aku terima dari Muslih sepurnama yang lalu, aku sisip kemas di dalam
almari. Kini, genap 3 bulan aku tidak bertemu Muslih. Dia tidak punya waktu.
Untuk mengajarku, apatah lagi untuk bertemu seperti dulu. Tugasnya besar. Beban
yang dipikulnya berat. Aku mengerti. Dan inilah harga yang perlu aku bayar
untuk berpacaran dengan presiden persatuan. Tapi, aku juga manusia. Yang ingin
selalu di dampingi. Memikirkan dua insan yang kini tiada di sisiku, menambahkan
pedih luka di siat-siat kembali. Semakin parah.
‘Anisah, cukuplah termenung. Lupakan Nasihah kerana dia
takkan kembali lagi.’ Marie teman sekuliahku memujuk.
‘Dia temanku, dia sahabatku, dia segalanya. Bagaimana
mungkin aku akan lupakan permata Islam seperti dia?’ Air mata mengalir deras
mengenangkan permergian Nasihah yang terlebih dahulu bertemu tuhannya.
‘Jika dia pergi, apakah dia pergi bersama tuntutan agamamu?
Muslih yang kau tidak bertemu sejak 3 bulan dahulu, adakah dia pergi membawa
jati diri agamamu? Apakah kau menyerah begitu sahaja? Pakailah hijabmu,
Anisah.’ Marie sarungkan tudung di kepalaku dan beransur pergi. Aku menangis
semahuku. Aku pegang erat potret Nasihah yang manis bertudung labuh. Aku tatap
seolah-olah dia bersamaku kini.
‘Nas,mengapa kau pergi dulu? Sebelum aku kuat untuk
sendirian?’ Saban hari aku menangis di pinggir sungai ini. Pinggir sungai ini,
tempat yang paling digemari Nasihah. Segala momen indah menari-nari di layar
mataku. Masih terasa pemergian Nasihah hingga kini. Muslih pula lama benar dia
tinggalkan aku, khabar berita langsung aku tidak jejaki.
‘Nas, aku sendirian di sini. Aku tak ada kau, aku tak ada
Muslih. Dia…’ Aku berbicara sendirian sambal air mataku tak henti-henti
mengalir.
‘Aku ada di sini.’ Aku lantas toleh ke belakang dan aku
lihat satu susuk tubuh berdiri di situ.
‘Muslih!!’ Tangisanku meledak lagi. Dalam tangis sendu itu,
aku peluk erat Muslih.
‘Muslih, mana kau pergi? Tidakkah kau tahu aku menderita di
sini?’
‘Anisah…’ Muslih tolak perlahan tubuhku darinya. Tika itu
baru ku sedari bahawa dia belum halal buatku.
‘3 bulan tidak kita bertemu. Kenapa kau begini? Jangan kau
bersedih lagi, Anisah. Peganglah pada Islam, tapi bukan kerana aku. Aku tahu
kau derita dengan pemergian Nasihah. Namun, jika aku juga tiada? Apakah kau
akan kembali seperti dahulu?’
‘Aku derita, Muslih! Aku derita! Aku tak punya sesiapa di
sini!’ Kepiluan mencengkam hatiku. Duri kepiluan tertusuk dalam sekali. Pedih.
Tubuhku lemah. Seperti tidak ada sendi yang menyokong untuk berdiri. Aku
menangis lagi tanpa ku hiraukan manusia di sekelilingku termasuk Muslih.
‘Anisah, aku ada…’ terhenti.
‘Di sampingmu.’
_______________________________________________________________________________
Aku kini bertudung labuh dan berniqab. Muslih membantuku dalam perubahanku ini.
Aku kini bertudung labuh dan berniqab. Muslih membantuku dalam perubahanku ini.
‘Aku ingin sentiasa di sisi kau Muslih. Apakah tidak layak untuk aku mencintai orang-orang soleh sepertimu?’
‘Tidak, bahkan aku juga mencintaimu. Cuma aku takut
tuntutanku yang besar mengabaikan tanggungjawabku sebagai suami.’
‘Muslih, kau yang mengajarku surah Muhammad ayat 9. Aku
ingin menjadi sayap kiri seorang pejuang.’
‘Anisah, aku cuma… cuma takut kau bersedih lagi. Bagaimana
jika aku tiada lagi kelak?’ Mimik wajah Muslih
berubah.
‘Aku In Shaa Allah kuat.’ Segaris senyuman aku hadiahkan
pada Muslih.
Urusan perkahwinanku
telah diselesaikan oleh ayahandaku di Malaysia. Alhamdulillah, aku kini sah
bergelar isteri Muslih. Srikandi kepada seorang lelaki. Sayap kiri kepada
seorang pejuang. Walaupun masaku bersama Muslih terhad, namun ini adalah
pengorbanan yang aku lakukan demi agamaku.
Minggu lepas, Muslih mengetuai gerakan
menentang kerajaan anti Islam bersama fakulti pengajian Islam yang lain. Sampai
kini, aku masih belum mendapat khabar mengenainya. Aku yakin, Allah bersamanya.
‘Anisah!! Muslih kritikal.’
Allah. Apa lagi ujian berat yang aku tempuhi kali ini? Aku gagahi juga
kaki melangkah ke tempat parkir. Kereta merah yang dihadiahi Muslih ketika
perkahwinan aku bawa laju ke hospital. Muslih berada di zon merah. Sampai di
zon merah, aku seka air mata. Aku tak mahu Muslih melihat sayap kirinya
bersedih.
‘Assalamualaikum, kecintaanku.’ Aku memberi salam kepada
Muslih. Tubuhnya terlantar di katil. Darah mengangalir tanpa henti dari tubuh
pejuang ini. Namun, sisipan senyuman masih teguh di bibirnya.
‘Waalaikumussalam, srikandiku. Aku mohon ampun, kerna aku
tak mampu laksanakan tanggungjawab untuk menjagamu serta ulamak kecil kita yang
berada di dalam kandunganmu.’ Lemah suara Muslih. Satu per satu kalimah yang
diucapkannya. Cukup susah. Aku genggam erat tangan Muslih lantas ku cium tangan
suamiku dunia akhirat.
‘Sayang…’ Muslih usap lembut kepalaku. Tangannya menarikku
terus dalam pelukan hangat seorang yang amat dicintai. Aku tewas. Aku tewas
dengan air mata.
‘Muslih, apakah kerana dosa silamku, maka aku tidak layak
mencintai orang soleh? Sepertimu?’ Air mata gugur deras. Aku pandang kasih
wajah Muslih.
‘Jangan bicara begitu. Di mana pun aku, tetap aku adalah
kecintaanmu. Jangan menangis lagi, sayang. Tidak bahagiakah dikau? Suamimu ini
seorang pejuang Islam, dan kau adalah sayap kirinya.’ Muslih menyentuh lembut
sekali pipiku.
‘Tetapi anak ini bagaimana, Muslih?’ Muslih semakin tenat.
Para doktor bersedia untuk mengahadapi segala kemungkinan. Semuanya menghampiri
Muslih. Aku pula menjauhkan diri dengan Redha. Tiba-tiba tanganku digenggam
erat. Muslih.
‘Doktor, biarkan penghujung hidup ini, aku habiskan bersama
bidadariku.’ Aku mencium dahi Muslih yang berdarah. Air mataku tumpah di
wajahnya.
‘Sayang, didiklah anak kita dengan Islam. Aku mahu dia juga
pejuang sepertiku. Aku mahu dia mencapai kegemilangan Islam yang paling tinggi.’
Dada Muslih berombak kencang.
‘Anisah, kau isteriku, kau cintaku, kau kasihku. Terima kasih
atas segalanya, sayang.’ Air mataku tak berhenti mengalir. Biar aku tanggung kesedihan
ini asalkan Muslih pergi dengan aman. Muslih semakin kritikal. Aku peluk tubuh
Muslih.perlahan-lahan aku bisikkan kalimah syahadah di telinganya. Muslih
menuruti kataku dengan penuh kepayahan. Akhirnya, sunyi. Dada muslih yang
berombak kini sepi. Ketika itu, aku mengetahui bahawa Muslih, suamiku pergi
menemui tuhannya ketika berada dalam pelukanku.
‘Terima kasih Ya Allah. Kau telah pinjamkanku insan yang
soleh dalam hidupku. Walaupun sebentar, aku Redha dan bersyukur. Aku bangga
menjadi isteri kepada pejuang Islam. Muslih, aku amat mencintaimu. Dan anugerah
allah kepada kita, ulamak kecil ini akanku namakan sebagai Muhammad Faiz Ulya
bin Muhammad Muslih. Kemenangan yang tertinggi!’