Usai kerja untuk hari itu. Ainil menarik nafas lega. Dia masih baru di syarikat itu. Tatkala diterima berkerja di situ, dia segera mengucapkan syukur. Terasa masih baru meninggalkan syarikat itu setelah beberapa bulan selesai menjalani latihan industri di situ, kini dia melangkah kembali sebagai seorang pekerja pula. Ketika masih ramai rakan yang belum mempunyai pekerjaan, Ainil sudah mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan bidang yang dipelajarinya. Dia sangat bersyukur di atas nikmat rezeki itu.
Setelah hampir sebulan di situ, Ainil disapa Zafri, salah seorang pekerja di pejabatnya. Ainil tidak pernah menyapa Zafri ketika menjalani latihan industri dahulu. Menurut rakan sekerjanya, Zafri belajar di dalam bidang yang sama seperti Ainil. Ainil hanya mendiamkan diri. Tidak pula dia berminat untuk bertanyakan lebih tentang hal itu.
Jam sudah menunjukkan 5.35 petang. Dia bergegas mengunci pintu pejabatnya dan menuju ke surau. Ahh..masih belum Asar. Langkah kaki dihayun sepanjang- panjangnya. Tidak dipedulikan keadaan manusia di sekelilingnya. Dia menekan butang lift. Di dalam fikirannya hanya membayangkan tingkat 5, destinasi yang ingin ditujuinya .
Setibanya di sana, dia segera berwuduk dan menunaikan solat. Ainil sentiasa mencuba sebaik mungkin untuk solat di awal waktu namun adakalanya terlewat juga. Mujurlah, majikannya seorang Muslim yang prihatin tentang solat. Senang rasanya hati Ainil untuk bekerja di situ.
Ketika ingin pulang ke rumah, Ainil berjumpa dengan sahabat lamanya semasa di universiti. Tasneem namanya. Sejuk sungguh mata Ainil melihatkan penampilan Tasneem yang menutup aurat. Cantik sekali. Adakala tercetus perasaan iri melihat betapa tawaduknya Tasneem menutup aurat. Tidak seperti dirinya yang masih terkial- kial mengenakan pakaian yang labuh dan longgar .
Hanya sebentar perbualan mereka pada petang itu. Tasneem mengejar masa kerana dia ingin menghadiri program Usrah . Ainil termangu di situ sendirian.
Duhai diri.. betapa luasnya jurang antara dirimu dan Tasneem.
Dulu, Ainil biasa- biasa sahaja orangnya. Sekelumit pun dia tidak peduli tentang menutup aurat. Walaupun orangnya biasa- biasa sahaja namun dia sentiasa bertudung. Pernah ketika usianya belasan tahun dahulu dia ditegur emak apabila sepupu lelakinya bertandang ke rumah namun dia tidak menutup kepalanya dengan tudung. Rentetan itu, dia memandang berat keperluan untuk menutup kepala namun bahagian aurat yang lain masih juga terbuka. Ainil masih belum mengerti makna menutup aurat ketika itu.
Bertahun lamanya Ainil begitu. Seiring hari berlalu, dia melihat terlalu ramai kenalan di sekelilingnya mulai berubah mendekati Allah. Dia terdetik ingin tahu. Hati Ainil sendiri terasa terlalu jauh daripada ketenangan sebenar. Meskipun agamanya Islam namun Ainil bukan seorang muslim yang patuh sepenuhnya kepada perintah Allah SWT. Masih terlalu banyak kekurangan pada dirinya yang mesti diperbaiki. Baginya, memenuhi amalan wajib seperti berpuasa, dan solat sudah mencukupi. Itu sudah membuatkan dirinya layak bergelar seorang Islam.
Bahkan tidak.. Ainil masih terlalu dangkal di dalam beragama. Dirinya masih terlalu jauh daripada mengecapi manisnya iman.
Ainil sentiasa berimpian untuk menjadi seperti Tasneem. Baginya, Tasneem sempurna dalam beragama. Pernah disuarakan perasaan irinya melihatkan tawaduknya Tasneem menjaga batas-batas syariat namun Tasneem hanya tertawa kecil mendengarkan itu.
“Manusia hanya dibezakan dengan taqwa kepada Allah SWT. Tasneem pun tak sempurna, apa yang Ainil nampak hanya dari satu sisi diri Tasneem je. Tasneem pun masih berusaha untuk membaiki diri. Sejujurnya Tasneem kagum dengan Ainil. Ainil sangat istiqamah dan tabah. Tasneem tahu, saat Ainil buat keputusan nak berhijrah dulu, keputusan tu tak mudah. Namun, Tasneem bersyukur tengok Ainil sekarang. Sepatutnya Tasneem yang iri dengan Ainil tau, bukan Ainil iri dengan Tasneem .”
Hatinya dihambat rasa sebak dek kata-kata Tasneem. Terasa malu menaruh rasa iri kepada Tasneem. Ainil tunduk meneleku lantai. Dia cuba untuk menahan air matanya daripada gugur. Sungguh kata-kata Tasneem ada kebenarannya. Tidak mudah keadaannya apabila dia membuat keputusan untuk berhijrah dahulu. Mujahadahnya pahit namun segalanya berbaloi kini. Ainil sangat merasai nikmat kemanisan setelah berhijrah.
Ainil masih teringatkan ejekan rakannya tika dia mula menjinakkan diri dengan sarung kaki, tika dia mula melabuhkan tudungnya. Mereka berkata Ainil mencuba untuk menjadi ustazah. Tika itu Ainil masih terkial-kial mencari pakaian yang sesuai untuk menutupi auratnya dan kebarangkalian cara berpakaiannya tidak kena pada pandangan mereka. Sesekali Ainil jauh hati juga dengan kata-kata mereka namun dia tetapkan hati.
Bukan kerana mereka Ainil menutup aurat!
Ainil mengesat air mata yang mulai bertakung di tubir matanya.
“ Ukhuwah fillah ya ukhti,” tutur Tasneem sambil memeluk Ainil. Air mata Ainil kian mengalir deras. Kristal jernih itu tidak mampu ditahan lagi. Tersedu-sedu Ainil menangis di dalam pelukan Tasneem.
Ainil sentiasa tulus berdoa, semoga Allah SWT sentiasa melorongkannya ke jalan yang lurus. Seiring doa, Allah mudahkan jalannya. Digantikan pula rakan- rakan lama dengan sahabat- sahabat baru yang sentiasa mendorongnya untuk lebih taat kepada Allah SWT. Mudah rasanya hidup bersyariat.
Dia seperti berada di puncak kebebasan walaupun mata manusia yang memandang muslimah sepertinya ibarat terpenjara dek arus fesyen dunia. Terlalu kolot! Mungkin pada pandangan mereka menutupi aurat dengan berpakaian labuh dan longgar sudah sepatutnya ditinggalkan jauh namun hanya hati yang merasai manisnya iman tidak berpandangan sedemikian. Biarlah bertutup sempurna, hakikatnya hati terasa damai di dalam dakapan redha Allah SWT.
Mei 2013…
Saat Ainil mahu melangkah pulang dari tempat kerjanya, kedengaran namanya disahut daripada belakang.
Ainil menoleh ke arah suara itu.
“Oh kau Zafri. Ada apa panggil aku?”
Kelihatan Zafri tercungap- cungap menahan nafas. Penat benar lakunya Si Zafri menyaingi langkah Ainil.
“ Tak ada benda serius pun. Aku nak kau baca ni. Ambil la baca dulu,” ujar Zafri sambil menyuakan risalah itu kepada Ainil.
“ Risalah apa ni Zafri?” Kehairanan Ainil. Risalah kini bertukar tangan.
“ Kau baca la ye. Aku balik office dulu,” tergesa- gesa Zafri melangkah pergi tanpa sempat menerangkan apakah isi kandungan risalah itu kepadanya.
Termangu-mangu Ainil. Hasrat untuk pulang kini terbantut.
Risalah yang sudah bertukar tangan dipandangnya lesu.
Ainil menyelak helaian demi helaian. Terlalu banyak risalah mengenai parti-parti politik yang bertanding di pilihan raya hadir menjengah saat ini. Masing-masing cuba mengangkat bahawa merekalah yang paling gah menjuangkan nasib bangsa dan agama dengan slogan yang pelbagai namun hakikatnya sesetengah daripada mereka hanya indah khabar dari rupa sahaja. Semakin dibaca semakin Ainil merasakan ada yang tidak kena pada risalah itu. Risalah itu ditutup cermat. Segera, matanya mencari Zafri. Dia ingin memulangkan risalah itu kepada Zafri kembali.
“Nah risalah ni Zafri. Tak nak la aku baca dah,” ujar Ainil sambil tangannya menghulurkan kembali risalah itu kepada Zafri.
Risalah itu kembali bertukar tangan.
“ Mana kau dapat risalah ni?” soal Ainil ingin tahu.
“ Aku dapat risalah ni masa sembahyang Jumaat tadi. Saja nak bagi kau baca. Nak tahu apa reaksi kau,” Zafri menerangkan.
“ Selamanya aku pilih Islam, Zafri,” tutur Ainil cuba menamatkan bicara.
“ Alhamdulillah,” Zafri melafazkan syukur tika mendengarkan butir bicara Ainil itu.
Zafri memandang kosong melihat Ainil melangkah pergi. Mukanya diraup perlahan. Saat itu, detik hatinya hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui.
“ Ainil..bukan aku insan terbaik untuk menjadi pengemudi bahteramu namun ya Allah, jika benar dia untukku, semoga dimudahkan segalanya”


Amboihh, kelas kau Sis Nabila ?
ReplyDelete*thumb ups*
hahaha... thanks nur irdina... ni ja yg mampu ana buat untuk myebarkan islam dalam wadah blog yg daif nih... moga Allah prmudahkan sgla liku2....
Deletecerita yang menarik... ana dah baca dah entri2 ni blog enti.. menarik sungguh.. mohon izin nak share entri enti di blog ana ya... ☺
ReplyDeleteMasyaAllah... Silakan... Terima kasih sbb sama2 sebarkan... moga Allah murahkan rezki enti ya nurfahada...
Delete